Saturday, April 16, 2011

Autisme ~ Penyakit Cacat Daya Fikir




Sepasang suami isteri apabila berumahtangga ingin dapatkan
cahaya mata untuk menambah suasana keriangan 
hidup berkeluarga.





















Oleh itu, ayah dan ibu kepada bayi baru lahir itu mempunyai 
1,001 harapan untuk masa depan bayi kesayangan mereka. 
Andainya bayi dilahirkan itu normal, mereka akan lega dan 
tidak perlu bimbang.


Namun jika berlaku sebaliknya dan bayi yang ditunggu-tunggu 
sekian lama didapati cacat, reaksi ayah dan ibu akan 
bertukar. Ada ibu bapa boleh menerima hakikat ini, terus 
berusaha dan bertawakal kepada yang Maha Kuasa, demi masa 
depan anak mereka.


Namun, ada juga ibu bapa mungkin berasa putus asa dan sanggup 
membiarkan anak istimewa ini begitu saja tanpa memberi perhatian dan 
tumpuan sepatutnya.

Malah, ada ibu bapa tidak mahu lagi menjaga anak seperti ini, justeru sanggup 
menyerahkan anak mereka kepada jabatan kebajikan masyarakat untuk 
dibelai dan dijaga atau meninggalkannya di hospital.

Yang lebih teruk ialah apabila bayi tidak berdosa ini dibungkus dengan kain 
dan diletak di merata-rata tempat dengan harapan orang lain akan 
mengambilnya.

Apabila berbicara mengenai bayi tidak normal dan didapati cacat dalam 
perkembangan daya fikir, sistem yang terganggu ialah sistem saraf, terutama 
struktur otak.

Kecacatan pada struktur otak akan menjejaskan fungsi otak, oleh itu kanak-
kanak terbabit akan menunjukkan tanda luar biasa daripada aspek 
tingkah laku, emosi dan pertuturan. Kadar perkembangan daya fikir menjadi 
lembab dan keupayaan untuk bercakap pada umur seawal dua tahun terjejas.

Gangguan perkembangan intelek atau daya fikir seperti ini disebut penyakit 
autisme.

Jika seorang kanak-kanak tidak dapat bertutur apabila mencapai umur dua 
tahun, ayah atau ibunya boleh membawa anak mereka berjumpa doktor 
pakar dalam bidang telinga, hidung dan tekak, atau disebut sebagai pakar 
otorinolaringologi.

Selain gangguan bertutur, kanak-kanak autistik menunjukkan ciri-ciri seperti 
tidak suka berinteraksi dengan orang lain dan jika mereka membuat 
sesuatu, mereka akan mengulang-ulang perbuatan itu.


Di samping itu, kanak-kanak berkenaan turut mengalami gangguan tidur
Kanak-kanak autistik sukar tidur pada waktu malam dan jika tertidur mereka 
kerap terbangun, oleh itu pada siang hari mereka mudah mengantuk.

Gambaran seperti ini membuatkan ibu bapa sering runsing dan bimbang. Akan
 timbul persoalan jika isteri mengandung lagi, adakah gangguan daya fikir ini 
akan berlaku juga kepada anak yang bakal lahir.

Setiap ibu bapa berharap mendapat cahaya mata normal dan boleh membesar 
seperti kanak-kanak lain — iaitu menjadi riang, suka bermain sesama rakan 
dan boleh berinteraksi dengan baik.

Permasalahan Pertuturan

Namun tidak dapat dinafikan bukan semua harapan dan impian menjadi 
kenyataan. Disebabkan sesuatu yang mungkin sudah berlaku sama ada secara 
disedari atau tidak, ada segolongan kanak-kanak mengalami permasalahan 
autisme.

Gangguan autisme hampir sama dengan satu lagi gangguan yang boleh 
berlaku kepada kanak-kanak iaitu gangguan Asperger. Cuma 
perbezaannya, gangguan Asperger tidak menunjukkan permasalahan 
pertuturan seperti dialami dalam gangguan autisme.

Gangguan autisme dan Asperger berlaku lebih kerap pada kanak-kanak 
lelaki dan ada peningkatan risiko kepada adik beradik lain. Selalunya 
gangguan ini boleh dikesan sebelum kanak-kanak mencapai umur tiga tahun.

Kajian dibuat menunjukkan wujudnya beberapa gangguan kesihatan yang 
boleh dialami kanak-kanak ini seperti ensefalitis atau jangkitan pada otak dan 
anoksia ketika kelahiran, iaitu kekurangan oksigen pada bayi.

Ini menunjukkan adanya perubahan fizikal pada otak kanak-kanak berkenaan. 
Jika dibuat ujian elektroensefalografi (EEG) akan dapat dilihat perubahan pada 
gelombang otak yang menunjukkan corak tidak normal.

Ada juga yang mencapai umur remaja dan boleh mengalami kekejangan. 
Walaupun demikian, ada segolongan kecil daripada kanak-kanak istimewa ini 
yang mampu bekerja dan boleh berdikari.

Memang benar ada ramai kanak-kanak autistik mengalami gangguan tidur. 
Kajian di luar negara menunjukkan mereka sukar tidur, kadangkala mengambil 
masa sehingga sejam sebelum dapat tidur.

Apabila dapat tidur, mereka kerap terbangun dan mudah terjaga pada awal 
pagi lagi, kadangkala sebelum jam lima pagi. Malah, mereka juga didapati 
tidak mahu tidur bersendirian.

Permasalahan tidur pada kanak-kanak autistik memberi gambaran bahawa 
ibu bapa perlu tahu iaitu gangguan tidur di kalangan kanak-kanak boleh 
disebabkan pelbagai perkara.

Oleh itu, daripada aspek memberi bantuan dan rawatan, punca sebenar 
gangguan tidur perlu diketahui supaya intervensi yang hendak dibuat 
bertepatan dengan punca masalah.

Jika tidak, sesuatu pendekatan rawatan itu hanya berfokus kepada simptomnya
 dan bukan kepada puncanya.

Kanak-kanak autistik dikatakan mengalami permasalahan dalam 
proses perkembangan intelek, emosi dan perilaku sosial. Pada peringkat
 umur tiga tahun, mereka masih tidak dapat bertutur, emosinya terbatas dan
 tidak mampu beramah mesra dengan rakan sebaya.

Dengan adanya pengetahuan sempurna mengenai gangguan ini, usaha 
terbaik boleh dibuat bagi mengurangkan permasalahan dihadapi. Ibu bapa 
perlu banyak bersabar dan mendapat bantuan daripada sanak saudara 
masing-masing bagi meyakinkan diri bahawa mereka sudah buat yang terbaik 
kepada anak istimewa ini.

Masa depan anak ini bergantung kepada sejauh mana gangguan perubatan dan 
komplikasi lain yang mungkin timbul.

Jika anda ada anak seperti ini, anda bukan keseorangan. Ramai ibu bapa 
lain mengalami nasib sama. Kadar berlaku gangguan autisme dikatakan di 
antara dua hingga lima kes bagi setiap 10,000 individu.

Oleh itu, wujud pelbagai persatuan sukarela, terutama dari kalangan ibu 
bapa yang ada anak seperti ini. Persatuan ini mempunyai matlamat sama iaitu 
membantu sesama sendiri ketika menghadapi cabaran dan dugaan dalam 
memelihara anak istimewa mereka.

Sehingga ini tiada gen spesifik yang berkaitan dengan gangguan ini 
ditemui. Walaupun risiko berlakunya gangguan ini didapati lebih sedikit di 
antara adik beradik terbabit, ia tidak bermaksud semua atau 100 peratus 
anak yang berkaitan akan mengalami gangguan sama. Manusia hanya 
dapat merancang dan Allah SWT jua yang menentukan segala-galanya

No comments: